Friday 6 April 2012

Pentingnya insan bernama SAHABAT

Assalammualaikum. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Setiap perempuan pastinya ingin menjadi yang terbaik. Namun, bagaimana ingin menjadi yang terbaik? Walau zahir mereka nampak kabur namun jauh di lubuk hati mereka ingin berubah. Mereka tidak pinta mereka kabur namun hati mereka tidak kukuh untuk melangkah keluar daripada zon selesa yang sedia ada. Apatah lagi, tiada dorongan yang kuat daripada sekeliling membuatkan mereka hanya membiarkan niat itu usang di dalam hati tanpa diekspresikan melalui amalan.
“Sesungguhnya agama seseorang adalah bergantung kepada agama (cara hidup) sahabatnya”
Rasulullah SAW sendiri sangat berhati-hati dalam mencari kawan. Jika baik sahabatnya, baiklah juga dirinya dan sebaliknya. Suasana sekeliling itu sangat penting pada diri seseorang dalam proses untuk dia berhijrah ke jalan Allah. Oleh sebab itu, kita digalakkan agar berada dalam sekeliling yang baik dan membantu dalam penghijrahan kita ke jalan-Nya. Jika tidak, melesetlah hidup kita kerana mereka. Bukanlah bermaksud kita patut menjauhkan sahabat yang kurang baik tetapi kita digalakkan untuk mencari sahabat yang baik di samping menjadi sahabat yang baik terlebih dahulu terutamanya untuk sesiapa yang mula ingin mencari nafas baru ke alam kehidupannya yang baru untuk berhijrah di bumi Jihad hanya kerana Allah. Namun masih, perempuan yang kabur zahirnya terus mengaburkan hatinya sedangkan Allah telahpun membuka hatinya untuk menerima hidayah. Mereka tidak berusaha untuk mengekspresikan apa yang ingin diubah kepada amalan. Kerap kali sahaja mereka dinasihatkan untuk berubah ke arah kebaikan namun mereka terus menerus mengabaikannya sekaligus menutupkan pintu hati mereka daripada menerima hidayah Allah. 
“Beruntunglah mereka yang ditegur demi kebaikan yang tidak mereka lihat. Allah telah menghantar seseorang untuk menegur, moga dengan itu jika dia menerima teguran, Allah akan lapangkan dadanya dan masukkan taufiq dan hidayahNya. Ada pun yang berpaling dari teguran dan kemudian memarahi orang yang menegurnya, dikhuatiri Allah menggelapkan hatinya yang sudah hampir mati.”

sahabat sejati = saling mendoakan walau jauh dimata :)